Rabu, 15 April 2009

Misbun Sidek

“SIAPA nama emak awak?”


Sejurus mendengar jawapan, sebuah jarum peniti secara perlahan dimasukkan ke dalam ibu jari kaki penulis.


Sepanjang sesi rawatan ibarat akupuntur itu, jari-jemari Misbun Sidek cukup berhati-hati. Ketika itu beberapa kerat wartawan yang menyertai rombongan pasukan negara menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila turut menerima rawatan sama di kamarnya.


Peristiwa 10 tahun lalu itu sedikit sebanyak menggambarkan sekilas lalu personaliti Misbun, kini bergelar Datuk.


Beliau bukan sekadar bekas pemain, jurulatih, abang, anak dan mentor. Beliau juga guru, ahli psikologi, pembimbing dan apabila perlu, pengubat duka lara dan pengamal rawatan alternatif.


Disebabkan misteri dan uniknya personaliti Misbun, beliau adalah seorang ikon bagi sukan badminton.


Namun Misbun yang bergelar jurulatih masa kini cukup berbeza dengan Misbun seorang pemain.


Wartawan Berita Harian, Nasir Ahmad, yang membuat liputan kerjaya Misbun selama satu dekad untuk akhbar Utusan Malaysia, menganggap bekas juara kebangsaan itu lebih mesra dan terbuka sesudah persaraannya.


“Misbun seorang yang mudah didekati hanya selepas beliau tidak lagi bermain. Dalam tempoh 10 tahun itu, rasanya saya tidak 'mengenali' siapa Misbun sebenarnya.


“Malah pada ketika itu, adik beradiknya Razif dan Jalani juga 'pening' berdepan dengan karenah Misbun yang lebih selesa tinggal berasingan. Keadaan menjadi lebih rumit untuk berhubung dengannya selepas beliau tewas kepada Liem Swie King pada final Piala Dunia Alba 1982.


“Malah sikap dan kehidupan Misbun bertambah 'misteri' apabila beliau mengambil keputusan untuk menjadi 'anak angkat' kepada seorang tukang urut di Ampang.


“Beliau manusia berbeza setiap hari. Kemesraan hari ini bukan satu jaminan esoknya sama seperti semalam. Perwatakannya sangat sukar difahami.


“Beliau seorang yang sangat tidak selesa kalau tersiar berita-berita yang pada pandangannya sesuatu yang negatif walaupun kita mempunyai tujuan positif.


“Sebagai contoh, apabila beliau tidak lagi bermain untuk Malaysia selepas Piala Thomas 1988, Misbun menimba ilmu pengurusan sukan ke Amerika Syarikat untuk beberapa bulan. Tiba-tiba dia cuba merebut tempat sebagai perseorangan ketiga skuad Piala Thomas 1990.


“Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika itu, Tan Sri Elyas Omar, mempelawa Misbun yang kebetulan akan kembali ke tanah air pada awal 1990 ketika skuad negara sedang buat persiapan ke pusingan akhir di Tokyo. Saya menunggu Misbun di Lapangan Terbang Subang bersama Allahyarham Datuk Sidek untuk dapat pengesahan daripada mulutnya sendiri.


“Saya terkejut kerana beliau serius menyahut pelawaan Elyas sedangkan beliau sendiri mengaku tidak pernah memegang raket sejak berada di Amerika. Tentunya beliau sukar mengembalikan tahap tertinggi dalam tempoh singkat. Dalam penulisan saya untuk beberapa hari berikutnya, saya menentang kemunculan semula Misbun. Saya tidak sanggup melihat statusnya diperlekeh oleh pemain muda ketika itu, Wong Ewe Mun dan Wong Tat Meng.


“Misbun perlu menewaskan kedua-dua pemain ini dalam perlawanan khas di Genting Highlands untuk mendapat tiket sebagai perseorangan ketiga. Dugaan saya menjadi kenyataan. Misbun kecundang dalam perlawanan itu. Namun untuk menjaga 'air mukanya' BAM tetap menyenaraikan Misbun dalam skuad sebagai 'pegawai khas' ke Tokyo.


“Sejak itu hubungan saya dengannya terus renggang. Malah kami tidak bertegur sapa ketika sama-sama berada di Tokyo hinggalah pada 1992 apabila saya ditugaskan sebagai 'ghost writer' dalam ruangan 'Sekilas Pandang' untuk Berita Harian ketika pusingan akhir Piala Thomas di Kuala Lumpur.


“Sebenarnya, kalau kita perhati betul-betul, Misbun satu-satunya atlit yang seolah-olah 'tidak ada perasaan'. Beliau tidak pernah memberi reaksi seperti mana pemain lain yang akan meraikan kejayaan mereka di gelanggang. Sama ada menang atau kalah, beliau hanya sekadar menadah tangan, bersalam dengan lawan dan terus ke bilik persalinan.


“Sama ada pelik, misteri atau apa saja yang ingin ditafsirkan oleh peminat dan wartawan, Misbun mempunyai watak yang mampu menarik ribuan penonton.”


Daya tarikan tersendiri ini menjadikan Misbun duta jenama Sidek yang popular. Pada usia 24 tahun, dua tahun selepas Misbun menerima penghormatan selaku Olahragawan Kebangsaan, beliau dilamar International Management Group (IMG), sebuah badan yang mengurus atlit secara profesional.


Kerjayanya penuh warna warni. Diselang-seli dengan gaya rambut yang berbeza, sekejap dibiarkan kerinting afro, sekejap ala Mohican dan sekejap berjalur kuning di tengah, Misbun menjadi impian penaja yang mahukan keunikan, perbezaan dan ketrampilan.


Karisma seperti ini bukan mudah dicari. Di kalangan atlit negara masa kini, tiada seorangpun yang mampu menonjolkan imej lain daripada yang lain. Kelainan ini yang mampu menaikkan imej sesuatu sukan itu.


Sumbangannya selaku jurulatih juga unik. Bagi wartawan yang selalu mengerumuni Misbun, mereka tidak perlu bersusah-payah memikirkan angle. Dengan caranya tersendiri, Misbun gemar mengalunkan kata-kata penuh falsafah , diselit dengan analogi dan maksud yang tersirat.


Selain mencarta kejayaan Datuk Lee Chong Wei merangkul pingat perak perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Beijing, Misbun juga pernah membimbang adiknya, Rashid, meraih gangsa di Atlanta 1996.


Misbun juga bertanggungjawab membawa Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh England 2003, selain melonjakkan Roslin Hashim sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia pada 2001.


Sebagai pemain pula, beliau adalah juara kebangsaan 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987, memenangi emas Sukan SEA Manila 1981, selain pernah menjuarai kejohanan terbuka seperti Terbuka Singapura, Taiwan, Jerman, Sweden dan Kanada.


Misbun juga muncul naib juara Piala Dunia 1982, naib juara Seluruh England 1986 dan membawa cabaran Malaysia ketika muncul naib juara Piala Thomas 1988.


Nasir membuat kesimpulan yang tepat bagi menggambarkan Misbun.

“Misbun tidak dilahirkan sebagai juara tetapi lebih kepada seorang penghibur. Tindakannya mempelbagaikan gaya rambut, memakai sarung berlainan warna pada satu masa, berjoging di tengah hari dan tengah malam, menjadikan Misbun seorang 'juara' di hati peminatnya.”

Nasir Ahmad - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: